Khamis, 6 September 2012
Lereng Gunung Yang Gondol
Mereka yang tinggal di Daerah Seremban terutamanya di kawasan Senawang sudah tentu dapat melihat dengan jelas dengan mata sendiri keadaan hutan di lereng bersebelahan Gunung Angsi yang telah digondolkan. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku walau dengan apa alasan sekali pun. Dalam perjalanan ke Kuala Pilah melalui jalan baru Bukit Putus keadaan ini amat jelas kelihatan. Apa sudah jadi dengan manusia hari ini yang tidak peka langsung tentang isu alam sekitar. Saya cuba membawa isu kegondolan hutan pergunungan ini untuk perbincangan di dalam kelas bersama pelajar pelajar saya. Kebetulan keadan hutan yang gondol itu sangat jelas kelihatan dari bilik kelas tempat saya mengajar. Saya cuba menarik perhatian setiap pelajar dengan bertanya samada mereka sedar atau tidak sejak bila hutan di pergunungan itu telah digondolkan kerana hutan yang digondolkan itu sangat jelas kelihatan dari bilik kelas malah dari mana mana kawasan di Senawang ini. Tapi percubaan saya agak hampa kerana rata rata mereka menjawab bahawa mereka tidak berapa perasan tentang perkara itu. Sesuatu usaha perlu dilakukan untuk menanam kesedaran di kalangan generasi muda terutama para pelajar tentang peri penting nya memelihara dan mengekalkan alam sekitar yang sesuai untuk kita duduki.
Sabtu, 21 Mei 2011
KE MANA HALA TUJU REMAJA MELAYU BERAGAMA ISLAM
Sebagaimana kita sedia maklum daripada sumber sumber yang dipaparkan saban hari melalui media massa ternyatalah bahawa golongan remaja Melayu yang beragama Islam mendahului dalam pelbagai isu yang yang bersifat negatif. Lihat sahaja isu isu yang berkaitan salah laku moral yang sering dipaparkan dalam akhbar setiap hari di mana golongan ini mendahului gejala gejala pembuangan bayi, merempit, penyalahgunaan dadah, pelanggaran disiplin di sekolah sekolah seperti merokok, ponteng sekolah, melepak di pusat beli belah, suka berpoya poya, membuang masa dan lain lain. Remaja remaja ini lebih cenderung dan suka kepada hiburan yang melalaikan daripada menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pelajar sekolah yang sepatutnya menumpukan perhatian dan usaha mereka kepada menuntut ilmu sebagai bekalan hidup di masa depan. Sesuatu usaha yang murni dan drastik perlu dilakukan oleh pihak pihak yang berkenaan untuk mengubah senario ini dari terus merebak dan menular serta merosakkan seluruh sistem kehidupan mulia, cemerlang dan terpuji di kalangan pewaris bangsa seterusnya mengulangi sejarah lama bangsa yang ternyata mengguris hati dan perasaan.
Jumaat, 3 September 2010
Membudayakan Al-Quran Dalam Kehidupan
Kitab Al-Quran merupakan mukjikzat yang paling agung diturunkan oleh Allah kepada junjungan besar kita iaitu Nabi Muhammad melalui perantaraan malaikat Jibril. Segala ilmu dan maklumat terkandung di dalamnya untuk dijadikan pegangan, panduan dan pedoman hidup. Menjadikan Al-Quran sebagai pegangan hidup akan menjadikan perjalanan hidup kita akan selamat di dunia dan di akhirat. Bacalah Al-Quran. Gali dan kajilah segala ilmu dan maklumat yang terdapat di dalamnya. Fahamilah segala isi Al-Quran. Setiap umat Islam perlu terus mengkaji apa yang terkandung di dalam Al-Quran sama ada yang disebutkan secara terus terang ataupun secara tersirat. Bahasa Al-Quran itu sendiri terlalu tinggi. Maka kita harus terus belajar dan merujuk kepada ilmuwan yang yang memahaminya. Semoga Allah terus membuka hati kita untuk terus mengkaji segala ilmu yang terdapat di dalam Al-Quran. Amin.
Khamis, 5 Ogos 2010
PELIHARALAH ALAM SEKITAR YANG SELAMAT UNTUK KEHIDUPAN
SAYA AMAT MEMINATI TOPIK ATAU MEMPERKATAKAN TENTANG ISU PEMELIHARAAN ALAM SEKITAR. SEPERTI PENGEKALAN HUTAN RIMBA YANG MENGHIJAU, LAUTAN LUAS YANG BERSIH, SUNGAI-SUNGAI DENGAN AIR YANG JERNIH, HIDUPAN SEPERTI HAIWAN, BURUNG, IKAN DAN LAIN-LAIN YANG BERKAITAN DENGAN ISU ALAM SEKITAR. DI MALAYSIA NEGARA KITA YANG BERTUAH. CUBA KITA PERHATIKAN JAJARAN ATAU BANJARAN TITIWANGSA YANG MENJAJAR DARI UTARA HINGGA KE SELATAN. SUNGGUH NYAMAN, SEJUK DAN SEDAP MATA MEMANDANG APABILA HUTAN RIMBA YANG MENGHIJAU YANG MEMBEKALKAN OKSIGEN UNTUK KEHIDUPAN KITA. KADANG-KADANG HATI TERASA PEDIH DAN HIBA APABILA MELIHAT ADA SEGELINTIR MEREKA YANG CUBA MEROSAKKAN DAN MENGGONDOLKANNYA. KADANGKALA ADA DI ANTARA KITA KURANG SEDAR TENTANG KEWUJUDANNYA, DISEBABKAN KITA SABAN HARI MENATAP PERKARA TERSEBUT. KADANGKALA, HANYA MEREKA YANG SEKALI SEKALA DATANG KE MALAYSIA YANG SEDAR AKAN KEWUJUDAN, KEUNIKAN DAN KEINDAHAN GUNUNG GANANG SERTA HUTAN RIMBA HIJAU YANG KITA MILIKI INI.
Langgan:
Ulasan (Atom)